Wednesday, October 21, 2009

Prof Aziz Bari dan Hanipa Maidin - cengih politik sewel

Huh, kalau tak tahu makna cengih, kamu takkan tak tahu makna sewel?

Hanipa Maidin minta orang pas terima kritikan Prof Aziz Bari dengan alasan dia orang luar liputan pas, maka dia berhak kritik atas persepsinya sebagai orang luar. Itu je? Tak payah ajarlah Hanipa. Memanglah orang luar liputan berhak kritik pas dengan persepsi masing - masing.

Yang kita duduk dalam liputan pas pun puji kritik cengih Prof Aziz Bari tu berhak atas dasar apa? Ha, berhak kerana kamu pun punya persepsi samakan? kan kan.. Hanipa? Kamu puji dia bukan sebab dia berhak, tapi sebab kamu menikmati apa yang tak boleh kamu luahkan? Kalau kamu luah, nanti kamu kena minta maaf kali kedua, ketiga dan keempat. Sebab kamu orang dalam liputan pas, mana boleh tuduh presiden begitukan. Kritik boleh Hanipa. Tapi itu bukan kritik. Itu tuduh namanya.

Kamu nampaknya dah berhenti tuduh dan lebih beradab sikit lepas kamu dah minta maaf hari tu. Malangnya, hari ini kamu pertahankan orang yang tuduh pula. Apa beza Hanipa, Yang Arif peguampas?

Aku baca hati kamu Hanipa. Apa salahnyakan? Persepsi aku begitu. Bahawa kamu ni masih teruk. Ahli pas jenis siege mentality, kata Khairy.

Cuma kamu bolehlah baca pula, antara persepsi aku, kamu dan Prof aziz Bari tu, mana yang tepat dan tuhan suka.

Politik memang persepsi pun. Tapi dalam pas yang bawa ruh Islam ni, persepsi yang salah tetap salah. Ia tetap buih walau sebesar gunung, walau ia menutup penglihatan buat sementara. Walau ia menghalang kemenangan cepat. Kamu tak boleh tukar haluan. Berhenti sekejap tunggu kabus hilang, atau jika lampu kamu terang, pandulah perlahan - lahan. Tukar haluan kamu sesat Hanipa.

Bila kamu puji Prof atas kritiknya yang bersifat tuduhan pada orang tertaat, terthiqah dalam parti, kamu sesat Hanipa. Kamu tahu apa makna sewel? Kamu sewel! sesat tu kasar sangat rasanya. So, ***** (deleted).

Prof tetap prof. Jasanya besar pada pas. Orang luar liputan yang banyak pertahan pas agak jarang. Yang jarang tulah yang mahal. Bila ustaz Idris tibai dia balik dan pertahan integriti presiden dan timbalan, bukan bermakna jasanya pun jadi debu, lalu Hanipa kenalah berbakti sebagai 'sahabat sejati' tunjuk simpati yang mendalam dari geraham sanubari. Tak payah, aku yang marahkan Prof pun tak rasa prof dah jadi umno atau jahat.

Sekadar aku kata Prof tersasar jauh untuk ini dan kritik cengih yang seperti ini. Apakah gugur segala jasanya?

Aku nak ajar kamu Hanipa. Nak ajar Prof Aziz Bari takut dia tak baca blog. Kalau kamu tak nak dengar jugak, aku harap adalah orang pas yang dengar dan ambil panduan. Lagi pun sapalah aku yang tak bernama di blog ini. Persepsi mudah, aku ni penakutlah.. Aku tak marah sebab persepsi ni bukan bersifat tuduhan berat. Persepsi biasa bagi anonimos dalam internet..

Tercetus isu golongan dinamakan pas pro umno (pro perpaduan)yang diketuai presiden atau pada pandangan lebih lunak, oleh timbalan presiden pas adalah tindak balas daripada kesayangan yang teramat sangat terhadap Pakatan Rakyat yang baru terbentuk dan membentuk wilayah politik baru dalam negara.

Ia berpunca daripada pertemuan sulit yang terbongkar sebelum masanya dan gagal sesegeranya diubati sebaiknya oleh tuan presiden. Apabila usaha mengubati dilakukan oleh presiden dan pimpinan yang bersama presiden, ia berjaya mengubati sebahagian dan tidak untuk sebahagian pimpinan dan ahli pas yang lain.

Untuk lebih memanaskan, politik persepsi mencetuskan 'nama' glamor untuk golongan kedua dalam parti iaitu puak pro pakatan. Diletakkan Mursyidul Am Pas sebagai kepala kumpulan ini. Terjadilah perpecahan yang diciptakan oleh politik persepsi.

Dengan tumpuan penyelesaian dan kata putus dinantikan melalui muktamar terakhir, pro pakatan dikira tumbang dengan kekalnya Timbalan Presiden di jawatannya dan gugurnya pahlawan yang dilihat mewakili pro pakatan, Dato Husam Musa dengan tragis sekali melalui undi tak sepadan gempa bersekala 8.1 riche.

Slogan pro pakatan ialah adalah 'singkirkan golongan pro umno/perpaduan'. Manakala slogan pro umno/perpaduan adalah 'singkirkan tuduhan presiden pas pro umno'.

Perwakilan Pas yang mewakili ahli Pas seluruh negara memilih untuk bersama presiden dengan mengundi timbalan presiden. Ertinya persepsi pimpinan pas seluruh negara adalah menolak tanggapan, tuduhan dan persepsi bahawa presiden dan timbalan presiden terlibat dalam projek membawa Pas ke dalam umno.

Adakah ini kerana pimpinan Pas seluruh negara kabur sehingga tak nampak? Jangan jawab ya, kerana jika begitu, kamu tidak lebih daripada jenis degil dan keras kepala.

Mengapa aku kata begitu? Sebab jika mereka terima, mereka akan bersama Mursyidul am, bukan bersama presiden. Mursyidul Am jauh lebih ditaati dan dihormati berbanding tuan presiden. Itu kerja Allah, siapa pun tak boleh ubah. Tetapi keyakinan bahawa presiden tidak terlibat telah menyebabkan mereka tidak merasa bersalah untuk tidak mengundi calon pilihan mursyidul am sendiri.

Keyakinan itulah thiqah da taat yang gagal dibuang bongkas oleh politik persepsi yang berbajakan tuduhan dan tanpa bukti.

Malangnya, sesetengah pimpinan atasan pas terus berpenyakit.

Tuan presiden mempertegaskan bahawa tindakan timbalannya adalah atas arahannya. Timbalan presiden mempertegaskan bahawa tindakannya adalah atas arahan parti dan presiden. Parti yang dikepalai majlis syura mempertegaskan mereka meluluskan usaha itu. So, apa lagi yang tinggal selain degil, tuduhan dan fitnah?!!

Jadilah seperti Dato Tuan Ibrahim, dicanang diawalnya sebagai calon kumpulan pro pakatan. Tetapi beliau bangkit untuk bersama presiden, sedang beliau anak saudara Mursyidul am. Semuanya kerana beliau menjadi jelas daripada kekaburan. Malangnya, tindakan beliau menyebabkan kumpulan pro pakatan yang menamakannya dulu kini meninggalkannya. Semuanya kerana degil dan mabuk kepayang nak singkir timbalan presidenyang lumat dicincang.

Malangnya, sikap ingin turut berkuasa dalam parti merosakkan sistem yang terpakai sekian lama dalam parti.

( Sikap inilah yang tidak disedari Mursyidul Am. Sikap inilah yang telah disedari awal anaknya, Nik abduh, lalu dia memilih mempertahan tuan presiden dengan mempertahankan ayahnya secara yang hebat, iaitu membedal pembantu - pembantunya. Sikap inilah yang kini baru dilihat mursyidul am. Hari ini, dilaporkan politik Kelantan sedang menari rentak baru. Mursyidul Am mula sedar politik 'cinta kuasa' dan 'politik cantas' Dato Husam Musa. Ada rasa dingin di hati mursyidul Am. Ada rasa panas di hati Dato husam. Adakah beliau yang dikaitkan oleh MSO dengan adegan bertumbuk dengan tetamu hari raya Pas pusat minggu lepas? Panas harus dilepaskan diluar, jangan di Kelantan. Apa khabar istana? )

Ahli Pas harus sedar bahawa krisis keyakinan terhadap pemimpin parti haruslah dipadamkan. Pakatan Rakyat adalah perjalanan. Pas adalah bahtera. Perjalanan akan sampai jika bahtera sihat. Usah hirau bahtera BN melintas, ia bukan bahtera penyelamat. Pas adalah bahtera penyelamat. Ia menyelamatkan semua. Ia mengambil penumpang di perjalanan, termasuk penumpang Umno, melayu dan bukan Islam.

Siapa kata bahtera Islam perlu cepat?? Mengapa kata demi pengundi bukan Melayu, tuan presiden kena cepat. Jika ambat, BN pick up.

Pemandu yang handal laju di jalan lurus, perlahan di selekoh dan berhenti di persimpangan. Adakah cerita Pakatan Rakyat adalah jalan raya yang lurus? Atau ia persimpangan untuk berhenti? Atau selekoh yang memerlukan sikap berhati - hati?

Pilihlah pada persepsi kamu. Tapi tuan presiden memilih yang ketiga. Dan jangan persoal kebijakan presiden?

Jika kamu faham ini, kamu faham mengapa Ustaz Idris dan mengapa Dato tuan Ibrahim mempertahankan presiden dan timbalannya. Mereka berhak 100% menolak kritikan yang berpunca daripada persepsi salah Prof Aziz Bari.

Adapun Hanipa, dia kena minta maaf sekali lagi. Thiqahlah pada presiden yang pernah menjadi guru pujaan kamu sebelum kamu ditimpa penyakit ego 'khafiyy'. Hanipa, jangan degil. Kamu tetap berguna dalam Pas sampai mati, insya Allah.

Tidak layak bagi ahli Pas jadi mat rempit. Tidak Prof Aziz Bari, apatah Hanipa Maidin.

Ingat, dalam perjuangan Islam, kegagalan bukan dari kerana lambat, tetapi dari kerana terlalu cepat.